SINAR HARIAN
SEJAK dahulu lagi, masyarakat India dan Melayu mengamalkan pemakaian inai di tangan serta jari pengantin semasa majlis perkahwinan mereka.
Jika dahulu inai dibuat oleh ibu atau saudara-mara terdekat pengantin secara konvensional iaitu menumbuk daun inai sehingga lumat disertakan dengan beberapa petua untuk menjadikannya merah dan coklat. Pemakaian inai menggunakan daun yang sudah lumat itu disalut pada hujung jari, namun berbeza dengan zaman sekarang, inai dilakukan oleh 'tukang inai' yang diupah.
Kini, tukang inai lebih moden dengan melukis inai pelbagai corak dan kategori pada tapak tangan, bahagian atas tangan, jari hingga ke bahagian badan.
Lebih mengujakan, inai tidak lagi hanya dipakai ketika majlis perkahwinan, ia juga dipakai pada bila-bila masa sahaja mengikut corak inai disukai dan identiti tukang inai.
Pekerja swasta, Norlida Shaari berkata, pemakaian inai adalah untuk mencantikkan tangannya.
“Saya menyukai inai sejak kecil dan kakak saya akan tumbuk daun inai sehingga lumat dan disalut pada hujung jari. Seingat saya, saya akan memakainya pada waktu malam kerana ia akan lama dipakai dan tidak rosak kerana melakukan kerja, malah akan menghasilkan warna yang cantik.
“Seiring dengan zaman moden, inai tidak lagi disalut di jari sahaja, malah ia divariasikan dan boleh dicorakkan mengikut kesukaan kita. Terkini, corak lace menjadi kesukaan orang ramai,” katanya.
Norlida berkata, ia adalah corak yang ‘simple’ dan cantik kerana kehalusan ukiran menaikkan seri pemakai.
Menjana pendapatan
Bagi Norhanis Hairuman, 18, dia menyukai ukiran lace universal kerana ia lain daripada yang lain.
"Ramai tukang inai boleh buat ukiran inai yang 'simple' tetapi untuk membuat ukiran inai lace, ia memerlukan kreativiti dan ketelitian. Hanya tukang inai yang kreatif boleh melakukannya.
"Saya meminati ukiran inai dan saya sanggup belajar dengan tukang inai untuk membuat ukiran menarik. Daripada minat itu, kini saya mampu menjana pendapatan sampingan dengan melakukan ukiran inai kepada pelanggan," katanya.
Menurutnya, dengan ukiran lace di atas tangan, ia akan menambahkan seri di tangan, dan upah yang dikenakan adalah berbaloi.
Sementara itu, jurufoto, Fahd Muzaid Zakaria berkata, dia tidak memakai inai dan tidak pernah membelinya.
Bagaimanapun, disebabkan anaknya, Iris Nuraqeela, 6, amat menyukai inai dan sentiasa mahu jarinya disaluti inai, Fahd Muzaid akan menyediakan stok inai di rumahnya.
“Sejak dia berusia setahun, isteri memakaikannya inai yang ditumbuk lumat dan disalut di jari. Kini, isteri tidak perlu lagi menumbuk inai kerana kami hanya membelinya sahaja.
“Saya memastikan inai berbentuk kon yang dibeli tidak mempunyai bahan kimia dan buatan tempatan. Selalunya, isteri saya akan mencorakkan inai mengikut kesukaan Iris seperti bunga matahari di bahagian atas tangannya,” katanya.
Walaupun ia hanya bertahan selama seminggu, Fahd Muzaid gembira kerana anaknya tidak menggunakan kos yang mahal untuk memiliki tangan dan jari yang cantik.
“Kadang-kadang, anak saya gemar melukiskan inai ditangannya dengan pelukis inai di jalanan. Mereka sangat kreatif kerana melukis inai yang hanya memerlukan kos yang rendah dan kemahiran yang tinggi mampu menjana pendapatan,” katanya.
Menurutnya, selalunya, upah sebelah tangan adalah serendah RM5.
Studio inai pertama
Bagi pemilik Henna Noor Collectionz, Norashikin Ali, dia memulakan perniagaan inai secara kecil-kecilan selepas menerima tempahan daripada rakan-rakan dan saudara-mara sejak 16 tahun lalu di Johor.
“Semakin lama, saya menerima permintaan tinggi daripada pelanggan bukan sahaja di Johor malah seluruh negara. Inai yang dilukis mengikut kreativiti saya dan pandangan pelanggan.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran saya, kini saya memiliki studio inai sendiri yang terletak di Shah Alam. Ukiran inai yang menjadi ‘trending’ adalah lace sama ada kategori Arab, India dan universal,” katanya.
Katanya, sejak beroperasi di studio dan Up Town Shah Alam, pelanggannya bukan sahaja bakal pengantin tetapi orang biasa.
Kebanyakan, pelanggan menyukai ukiran inai lace kerana ia padat dan sarat sekaligus mencantikkan tangan.
“Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai bangsa dan pelancong asing. Saya hanya menerima tempahan ukiran inai pada setiap Rabu sehingga Sabtu sahaja dan lebih 100 pelanggan pada setiap bulan.
Selain, menggunakan formula sendiri untuk bancuhan inai, Norashikin juga menjadi pembekal inai di seluruh negara dan mengeluarkan produk inai sendiri iaitu di bawah syarikat Henna Warisan Zaman Enterprise.